
*Akan aku terus berlayar,walau layar tiada berkibar.*
Soalan yang diajukan seorang sahabatku yang berbangsa Pakistan beberapa hari yang lalu masih panas di kotak mindaku. Penat aku mencari jawapannya, habuk pun tak dapat.
Soalannya betul-betul kena dengan apa aku lakukan sekarang.
Dakwah dan Tarbiyah.
Benda yang begitu sinonim dengan apa yang aku buat selama ini.
Dan sehingga saat ni aku masih tidak jumpa lagi akan jawapannya.
Hari itu kuliah berakhir seperti hari-hari biasa. Jam tepat menunjukkan pukul 1 tengah hari. Aku terus melangkah keluar dari Blok Teknologi Maklumat Komunikasi dengan sahabat-sahabat. Dengan matlamat yang satu, kami bergerak laju menuju ke poket D demi mengisi perut yang berkeroncong yang belum mendapat haknya untuk diisi sebelum solat fardhu zohor berjemaah.
Dalam perjalanan itu, seorang sahabat di kalangan kami tiba-tiba bertanya.
“Akhi, minggu depan ada Karnival Pemangkin Ummah(KPU) kan?” Acuh tidak acuh dia bertannya.
“Yup. Minggu depan, 18hb tu dah mula KPU. Karnival kali ni dengar-dengarnya memang gempak. Antara yang paling mantap pernah dibuat sebab ada kolaborasi dengan JAKIM sekali. Ketua dengan komiti-komiti pun dengarnya ahli-ahli yang cukup berpengalaman dengan program-program Islamik. Memang mantap KPU kali ni.” Penuh semangat sang sahabat bercerita sambil mempromosi program-program Islamik sebegitu.
“Fuhhh, hebat sungguh pengurusan dengan perancangannya. Moga-moga ramai yang datang ke event macam ni.”
Poket D sudah pun kelihatan. Hanya beberapa langkah lagi diperlukan untuk mereka sampai.
“Sahabat-sahabat, jom singgah booth KPU kejap.” Ajak sahabatku.
“Jom!” Sahutku dengan semangat.
Lagu InsyaAllah yang dinyanyikan Maher Zain berkumandang penuh irama di booth KPU. Produk-produk kesihatan HPA, beberapa botol minuman Bota Best dan baju muslimin muslimat menjadi antara produk jualan di situ untuk menjana ekonomi ummah. Kelihatan beberapa orang muslimin dan muslimat sedang bertugas menjaga booth tersebut.
“ Assamualaikum!” Ceria aku ucapkan dengan senyuman kepada sahabat se’batch’yang sedang bertugas sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Sedang rancak kami berbual-bual mengenai event-event Islam, sepasang tangan hinggap di bahuku secara mengejut dari belakang.
“Brother, please make a muslim. I want to be a muslim.” Soalnya dengan nada Pakistan yang mendatar .
Sekujur tubuh berketinggian tidak kurang daripada 180cm, dengan pakaian serba formal, dan bermuka Pakistan itu bertanya kepadaku.
Aku terpaku. Bagaikan halilintar memanah diri ini. Dunia seolah-olah berhenti seketika. Diam.
“Could you show me where is Allah? If you could show me where is Allah, I will become Muslim now,here.” Tanyanya lagi tanpa sempat untuk aku memberi jawapan kepada persoalan yang pertama.
Aku terus tersentak. Terkedu lidahku untuk berkata-kata. Aku tidak mampu menjawab persoalannya.
Malu sungguh.
Mengaku diri sebagai seorang yang telah pun mengucapkan dua kalimah syahadah, dididik dengan pendidikan Islam sejak kecil lagi, tambah-tambah lagi mengiktiraf diri sebagai salah seorang ahli gerakan dakwah Islam, namun soalan semudah itu pun tidak mampu untuk aku jawab.
“Where is Allah my brother??? Are you just selling white hat*kopiah* and muslim cloth?” Perlinya lagi menguji kefahaman kami akan Islam yang telah pun dianuti hampir 20 tahun lamanya.
“If could tell me where is Allah and you can make me a Muslim, come and see me.” Senyuman terkoyak dibibirnya. Dia terus berlalu pergi. Meninggalkan aku dan sahabat-sahabat lain terpinga-pinga seolah-seolah tidak pernah kenal akan Islam.
Aku optimis apa yang dikatakannya itu bukanlah untuk menghina apa yang kami lakukan.
Tapi itulah teguran pedas yang sepatutnya dihadam oleh ahli-ahli yang mengaku bergerak dengan gerakan Islam.
Mungkin ini teguran dari Allah buat diriku yang terlampau menyibukkan diri dengan dakwah melalui ‘event’ sehingga mengabaikan tanggungjawab berdakwah secara fardhiyyah kepada sahabat-sahabat muslim dan non-muslim di sekelilingku. Sedangkan dakwah fardhiyyah itulah cara sebenar Rasulullah S.A.W menyampaikan risalah Islam pada mulanya.
Sungguh aku rasa berdosa.
Ceteknya ilmuku.
Dangkal sekali fikiranku.
Malasnya diriku menuntut ilmu.
Adakah aku sekadar bertaklid menuntut kehendak sistem menjadi daie yang ‘well-rounded’ tanpa kisah pun akan metodologi yang sahih untuk mencapainya?
Apa-apa pun, tidak pernah sesekali aku menyalahkan ‘event’ itu menjadi asbab kepada kelemahan diriku ini.
Cuma mungkin aku perlu lebih berstrategi.
Berstrategi dalam mengimbangi perancangan hidupku dengan visi dan misi yang jelas dalam membawa syiar Islam yang syumul kepada semua ummah.
p/s: Gaya penulisan baru cuba diadaptasikan dalam cerpen pendek kali ini.
p/s2: Wajarkah untuk kita menyisihkan atau memperlekehkan sahabat yang tidak berada pada jemaah yang sama?Adakah itu sikap yang dituntut oleh Islam? Inilah yang terjadi apabila falsafah doktrin fanatisme jemaah itu diterapkan pemimpin-pemimpin atasan kepada pengikut-pengikutnya. Perpecahan atau perpaduan? Antum pilih.